Inspiring lose weight stories

Mengurus nafsu

Salam semua....
Alhamdulillah...
Pagi ini telah Allah gerakkan hati ini menghadiri kuliah subuh pertama selama 27 tahun aku hidup di atas muka bumi. Ya Allah.... Betapa ruginya hati ini sepanjang 27 tahun itu.. Ampun dosaku Ya Allah. Aku bersalah menzalimi diriku sendiri. Tetapkan iman ku sepanjang umurku selepas ini Ya Allah. Jangan Kau tarik nikmat hidayah yang telah Kau campakkan ke dalam hatiku ini Ya Allah. Izinkan aku berwasatiah dalam setiap amal solehku Ya Allah. Kau lembutkan hatiku kepada jalan TAQWA Ya Allah.... Hanya Engkau Tuhan yang berkuasa menetapkan hati-hati manusia.

Pelajaran kuliah subuh pertama ini akan aku ingat sampai bila-bila. InsyaAllah. Pengajaran yang sangat-sangat berharga bagi mereka yang mahu mendalaminya.

Tarbiah nafsu


Manusia diciptakan Allah mempunyai nafsu. Nafsulah yang mencorakkan peribadi seseorang.

Demi nafsu & penciptaanNya, Allah memberi ilham nafsu kerja-kerja jahat melalui syaitan (nafsu jahat) & ketaqwaan kepada Allah melalui malaikat (nafsu baik).

Nafsu baik = Peribadi baik

Nafsu adalah musuh #1 dalam diri manusia. Ia amat sukar untuk dididik. Nafsu yang gagal dididik akan menjadi alat kepada syaitan.

2 nafsu utama & halal bagi manusia:
1. Nafsu makan & minum / kebendaan
2. Nafsu syahwat (Hubungan intim yang halal antara suami isteri)

Kedua-dua nafsu ini boleh membawa kerosakan & kebaikan kepada manusia.

Nafsu merosakkan manusia
Nafsu kebendaan dan nafsu syahwat yang melampaui batas halal & haram hukum Allah melahirkan manusia yang rosak Islamnya & imannya.

Nafsu membangunkan kebaikan kepada manusia
Nafsu kebendaan & nafsu syahwat yang diurus berdasarkan TAQWA akan membangunkan kebaikan kepada manusia.

Persoalannya, bagaimana mengurus nafsu bersandarkan TAQWA?


5 langkah mentarbiyah nafsu


1. Tundukkan nafsu
Jihad (perjuangan) menundukkan nafsu adalah jihad yang paling besar di sisi Allah. Dan sebaik-baik cara menundukkan nafsu adalah berpuasa. Cuba kita renungkan... Semasa berpuasa di siang hari, kita menahan diri kita daripada nafsu makan & minum sedangkan makan & minum adalah halal bagi kita melakukannya. Kita juga menahan diri daripada nafsu syahwat (hubungan suami-isteri) ketika berpuasa sedangkan ia juga halal bagi kita. Puasa membuktikan kita mampu menundukkan musuh #1 dalam diri kita iaitu nafsu. Tapi mengapa kita tidak dapat meneruskan perjuangan menundukkan nafsu dalam segala urusan harian kita di kala kita tidak berpuasa sedangkan kita sebenarnya mampu? Jawapannya kerana nafsu adalah musuh dalam diri kita. Bukan senang untuk melawan 'orang dalam' kawan-kawan... Namun sesusah mana pun ketahuilah kita sebenarnya mampu. Lakukannya sedikit demi sedikit. InsyaAllah Allah akan memudahkannya bagi kita. Hanya setelah kita dapat menundukkan nafsu barulah kita mendapat TAQWA, kita meredhai apa yang Allah redha & membenci apa yang Allah benci.

2. Bersihkan nafsu daripada sifat binatang. 
Nafsu yang Allah kurniakan kepada manusia datangnya dengan akal. Binatang juga makhluk yang Allah kurniakan nafsu. Nafsu makan & minum (memburu makanan) serta nafsu syahwat (mengawan). Tetapi bezanya dengan manusia ia datang tanpa akal. Maka tidak kasar jika saya katakan manusia yang bertuankan nafsu = binatang. Binatang rakus memenuhi nafsu kerana tidak punya akal. Binatang sanggup berbunuh-bunuhan untuk mendapat makan. Tapi kita manusia yang dikurnia nafsu & akal, tetapi bersifat rakus memenuhi nafsu kan tak ubah seperti binatang? Renung-renungkan...

3. Menolak sistem yang berlandaskan nafsu


Syirik akhbar (besar) dalam dunia Islam bukanlah menyembah pokok. Syirik akhbar dalam dunia Islam adalah meletakkan sistem yang di luar hukum Allah sebagai rujukan dalam menerajui kehidupan.
-Yusuf Qardawi-

Allah telah menurunkan Al-Quran sebagai rujukan utama kehidupan dunia Islam. Dan Rasullulah SAW diutus sebagai model terbaik bagi mendemonstrasikan sistem kehidupan yang Allah ceritakan dalam Al-Quran.

Janji Allah: Apabila Kamu redha apa yang Allah redha, kamu akan dikurniakan RAHMAT. 


Mengapa kita harus takut & ragu-ragu untuk melaksanakan sistem kehidupan yang Allah perintahkan? Sedangkan janji Allah itu benar & pasti akan berlaku?
Saya mengambil kesempatan ini mengingatkan diri saya & kawan-kawan
Tidak rugi orang yang mentaati Allah. 
Marilah kita sama-sama berusaha memperbetulkan amalan kehidupan kita untuk mencari redha Allah.
Kemajuan & pembangunan itu tidak salah. Malah digalakkan dalam Islam. Namun membangunlah seiring dengan pengisian rohani & jiwa. Barulah,  kita mendapat redha Allah. InsyaAllah...

4. Tolak budaya hidup mengikut nafsu
Terlalu banyak kesempatan umur kita bazirkan mengikut nafsu. Hingga kita terlupa mati itu pasti, hidup InsyaAllah. Kita lupa urusan hidup kita bukan selesai di pintu kubur. Urusan hidup kita hanya selesai di mahkamah Allah kelak, di padang mahsyar. Renung sejenak diri kita... Kawan-kawan orang mati ada 2 jenis:


1. Orang mati tetapi masih terus melakukan dosa sampai kiamat
Orang ini adalah orang yang di masa hayatnya sentiasa mengikut nafsu jahatnya sehingga merosakkan orang lain.


2. Orang mati tetapi terus mendapat ganjaran amal solehnya hingga kiamat
Orang ini adalah orang yang di masa hayatnya sentiasa menundukkan nafsunya & menjadi contoh ikutan yang baik kepada orang lain.

Yang mana satu pilihan kita?

5. Tolak golongan nafsu
Di dalam hidup ini kita diberi kuasa oleh Allah untuk memilih siapa kawan-kawan kita & siapa ketua & ikutan kita.

Jika kamu memilih apa yang Aku redha, maka kamu akan beroleh redha & rahmatKu.

So, marilah kita memilih kawan-kawan & ikutan yang mentarbiyah & menundukkan nafsu kerana golongan ini diredhai Allah. Mudah-mudahan kita juga memperoleh redhaNya. Amin....

0 comments:

Catat Ulasan